Rabu, 31 Disember 2008

UMNO 2008 dan Masa Hadapan - Siri I

Rumusan 2008

Tahun 2008 merupakan satu tahun yang pasti sukar untuk dilupakan bagi pengikut senario sosio-politik tanah air. UMNO menerima tamparan hebat pada PRU Mac 2008 dengan kegagalan Barisan Nasional memenangi majoriti 2/3 kerusi Parlimen. Bukan itu sahaja, lima buah negeri jatuh ke tangan Pembangkang, termasuklah lubuk emas Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

UMNO berpecah belah dalam kekeliruan dari kepimpinan yang tidak menyedari percaturan politik tanah air sudah berubah. Masalah inflasi menaikkan lagi bara ketidak-puasan hati rakyat, dan kes liwat Saiful Bukhari tidak berjaya mengalihkan perhatian dan kemarahan mereka terhadap kepimpinan.

Asakan berterusan dengan Pilihan Raya Permatang Pauh di mana UMNO bagaikan dibuai mimpi kerana berangan dapat menarik minat pengundi menggunakan taktik kampong ala 90-an. Imej-imej yang menunjukkan bilik gerakan UMNO yang kosong sementara ceramah pembangkang dibanjiri pendengar menjadi bukti masyarakat sudah mual dengan corak kempen UMNO.

Kemenangan DS Anwar Ibrahim membuka ruang untuk ketua Pakatan Rakyat ini bersuara di Dewan Rakyat.

Bukan itu sahaja, kelemahan UMNO sebagai tunjang Barisan Nasional melihatkan hak-hak istimewa Bumiputera dipersoalkan oleh bukan sahaja pembangkang tetapi rakan-rakan di dalam Barisan Nasional sendiri.

Di sebalik perubahan drastik dalam situasi politik tanah air, UMNO pula terus bergelut dengan isu kuasa dalaman. Jawatan Presiden UMNO menjadi topik hangat apabila Abdullah enggan tunduk kepada kehendak akar umbi sehinggalah ke saat terakhir apabila beliau mengumumkan Najib bakal menjawat jawatan Presiden menjelang Mac 2009.

Tetapi persaingan lebih hebat dilihat dalam jawatan-jawatan lain di dalam UMNO. Dari Timbalan Presiden hinggalah ke ahli majlis tertinggi, dari Ketua Pemuda hinggalah ke Ketua Wanita, satu angin perubahan dirasai oleh ahli-ahli UMNO.

Adakah mereka ini benar-benar mahu membawa perubahan, atau hanya ingin mengambil peluang dalam kekalutan di dalam UMNO? Tetapi persoalan yang lebih penting buat penulis adalah, apakah yang mereka kejar itu akan kekal selama-lamanya? Adakah pengaruh kuasa UMNO akan terus berkekalan jika masih bergerak seperti raksasa lembab yang hanya menunggu diburu oleh spesis yang lebih kecil, lincah dan cerdik?

Ini adalah siri pertama dalam rangkaian artikel UMNO – 2008 dan Masa Hadapan...

Manakah Sokongan Anda?

Di manakah respon dari ahli-ahli politik, baik dari UMNO atau pihak Pembangkang, terhadap serangan ganas Zionis terhadap penduduk Palestin? Di manakah protes besar-besaran? Adakah isu ini tidak sepenting memprotes kedatangan Inul? Manakah KJ dengan membalut bendera dikeliling badannya?

Di sini penulis ingin menyeru pembaca untuk berdoa demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kekejaman bangsa Israel.

...

Penulis ingin meminta maaf kerana tidak mengemaskini laman blog ini selama lebih sebulan. Komitmen di tempat kerja dan hal peribadi membuatkan isu politik seakan tidak penting dalam skema besar kehidupan penulis. Dalam zaman kegawatan ekonomi ini, penulis hanya mampu menggeleng kepala melihat kedaifan sesetengah ahli politik yang masih sibuk dengan retorik dan berkempen daripada mencari jalan menangani masalah global ini.