Sabtu, 15 November 2008

Apakah Nasib Negeri Pakatan Rakyat?

Maaf kerana lama tidak mengisi ruangan Suaradu. Tugasan semakin berat dan mengurangkan masa lapang. Isnin nanti penulis akan membuat lawatan kerja ke Johor Bahru, untuk menilai sendiri sejauh manakah koridor Pak Lah – Iskandar Malaysia – berjaya dari segi pembinaan infrastruktur.

Tetapi sebelum hinggap nun jauh ke Selatan Semenanjung, penulis ingin mengajak pembaca menilai sendiri satu lagi insiden kegagalan kerajaan “CAT” DAP dalam menaikkan nama Pulau Pinang.

Selain daripada inisiatif WiFi percuma, yang diberikan secara tender tertutup kepada syarikat yang mempunyai agenda komersial sendiri, apakah yang sudah dilakukan oleh Lim Guan Eng dan konco-konconya?

Kini, satu lagi acara komersial gagal dilangsungkan. Sama ada ini adalah kesilapan penganjur atau tidak, sedikit sebanyak rakyat Pulau Pinang harus melihat apakah tanggungjawab kerajaan negeri dalam memastikan penggunaan tanah awam terurus.


Sumber-sumber penulis di Pulau Pinang melaporkan bahawa semakin banyak syarikat menutup operasi atau melupakan hasrat untuk melabur di Pulau Pinang. Mungkin ada yang bersorak gembira kerana kononnya kehadiran kilang, syarikat gergasi ini akan mengurangkan kualiti kehidupan. Tetapi adakah mereka akan bersorak gembira apabila tiada lagi kilang mahu mengambil anak-anak muda berkerja, dan mereka mencari rezeki di negeri lain?

MB Nizar Menunjukkan Cara Memerintah PAS?

Bukan Lim Guan Eng sahaja yang semakin malap, tetapi harapan besar pro-modernis PAS, MB Nizar, juga mula menunjukkan belang dengan bersikap angkuh dan tidak matang dalam menangani isu di Perak.

Beliau menunjukkan bagaimana tertekannya beliau dengan situasi di Perak dengan hilang sabar terhadap jurugambar Utusan Malaysia. Penulis pun faham agaknya kenapa beliau bertindak demikian. Maklumlah, beliau terpaksa muka tebal dan berdegil apabila berdepan dengan pelbagai tuduhan terhadap pemerintahannya.

Sehingga kini dua ahli exco yang telah memalukan diri sendiri dengan insiden rasuah masih dipertahankan beliau, walaupun tindak tanduk mereka di khalayak awam tidak mencerminkan aspirasi dan ideology PAS.


Tidak habis dengan itu, Nizar juga terpaksa kompromi kepada “rakan baik” PAS yakni DAP dengan mencalonkan nama ahli Exco Belia dan Sukan Negeri Perak, Seah Leong Peng, untuk memangku jawatan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Perak. Dalam isu ini juga dikhabar Nizar tidak memahami kehendak rakyat dan terus dengan sikap degilnya.

Khalid Ibrahim Mahu Lebih Duit?

Ya la, bila dah bagi subsidi air, duit tu haruslah datang dari sumber yang lain. Kalau nak naik taraf ke Toyota Camry pun perlukan duit. Jika tidak ada pendapatan baru (dan khabar awalnya pelaburan ke Selangor pun semakin berkurangan), maka haruslah cari duit dari sumber lama.

Yang menjadi mangsa adalah penduduk flat kos rendah Projek Perumahan Rakyat. Dalam keadaan ekonomi yang genting, adakah wajar untuk meningkatkan sewa DUA KALI GANDA ke RM 250? Dan yang lebih penting sekali, kebanyakan penduduk ini adalah dari bangsa Melayu. Khalid Ibrahim, adakah ini yang dinamakan kerajaan untuk rakyat?

Rumusan

Penulis juga ingin menyentuh bagaimana di kedua-dua negeri ini bagaimana kuasa politik kaum Melayu semakin pudar. Kalau tidak silap penulis, kini di Pulau Pinang hanya 2 orang ahli Exco berbangsa Melayu berbanding dengan 4 sebelum Mac 2008. Malah, di Kedah, lihat sahaja bagaimana kerajaan PAS terpaksa berpatah balik daripada memperkenalkan polisi kuota 50% untuk Bumiputera.


Bukan penulis ingin menyokong polisi itu, tetapi sekadar menunjukkan bagaimana kerajaan PAS mempunyai ide sendiri yang sempit dalam memajukan negeri dan bagaimana mereka lemah dalam menyakinkan sendiri rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat.

Khamis, 6 November 2008

Tahniah Dato' Ikhwan

UMNO Cawangan Damansara Utama ingin mengucapkan tahniah kepada YB Senator Dato' Ikhwan Salim kerana berjaya mempertahankan jawatan Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Utara. Keputusan dicapai di dalam satu Persidangan Sesi Ke-2 di Hotel Singgahsana malam semalam setelah keputusan seri yang dicapai dalam Persidangan Bahagian 26 Oktober lalu.

Pencabarnya Datuk Zainudin Abdul Rahman berjaya memperoleh 121 undi berbanding 125 yang berpihak Dato' Ikhwan. Majoriti 4-undi ini menamatkan kempen untuk Ketua Bahagian yang boleh dianggap cukup intensif dan agresif.

Walaubagaimanapun, penulis risau bagaimana pergerakan UMNO PJU akan bergerak maju sebahu memandangkan majoriti tipis yang bakal menaikkan tanda tanya tentang kesetiaan hampir 50% perwakilan bahagian terhadap Dato' Ikhwan.

Penulis berharap agar ahli-ahli UMNO sekalian melupakan yang lalu, ketepikan kepentingan peribadi, dan bekerjasama mengembalikan keyakinan rakyat tentang kebolehan dan keikhlasan Pergerakan UMNO.

Isnin, 3 November 2008

Lim Guan Eng Terus Karut

Ingatkah anda kepada janji-janji Lim Guan Eng berkenaan pelaburan bernilai berbilion ringgit yang sedia untuk masuk ke Pulau Pinang? Ya lah, mungkin ada yang terlupa kerana Lim Guan Eng memang dah janji macam-macam tetapi seperti juga kerajaan Pakatan Rakyat yang lain, ianya kekal janji sahaja.

Kini, setelah membawa delegasi besar-besaran 52 orang ke Korea Selatan, Lim Guan Eng telah berjaya membawa pulang satu pelaburan yang amat besar – sebuah lagi kelab golf di Batu Kawan. Pelaburan RM 100 Juta yang akan mengambil alih tanah yang bernilai lebih jika dibangunkan sebagai pusat komersial – adakah ini yang akan membawa pulangan kepada rakyat?

Hantar 52 orang, dapat jual satu kelab golf...pulangan inikah yang diinginkan rakyat?
Yang lebih mengecewakan adalah dolak dalih Lim Guan Eng dalam menjawab persoalan-persoalan. Kononnya CAT – penuh dengan keterbukaan – tetapi yang jelas Guan Eng lebih gemar menuding jari kepada isu lain sambil mengelak persoalan tentang tindak-tanduk kerajaan di bawah pimpinannya.

Pasti ada yang akan menggunakan hujah yang sama – ala, kerajaan UMNO pun bukan baguih sangat, apa yang nak kecoh2? Tapi hangpa pilih orang lain kali ini kononnya untuk jadi lebih baguih, la ni jadi lagi teruk, hangpa nak kata apa?

Ronnie Liu Mahu Sesuatu

Tak habis-habis lagi dengan isu Proton Perdana. Kali ini Ronnie Liu sekali lagi muncul menunjukkan betapa teruknya Proton Perdana miliknya. Kiranya ide untuk menggunakan Toyota Camry cukup bijak. Tetapi renung-renungkanlah kenapa Ronnie Liu ni sungguh bersemangat untuk menukar ke Toyota Camry. Dimaklumkan bahawa ada saudara mara Ronnie Liu yang mempunyai kaitan dengan pengedaran Toyota. Boleh sahkan?

Jagalah Maruah Bangsa dan Parti

Penulis sememangnya mempercayai pengaruh Internet dalam menyebarkan maklumat. Tetapi ada kalanya keterbukaan internet boleh disalah gunakan. Dalam kesungguhan kita sebagai ahli UMNO dalam menyebarkan maklumat, kita harus sedar bahawa dalam dunia Internet, semuanya bebas dinilai ahli-ahli parti dan bukan ahli parti.

Semua pengamal Internet bagi pihak UMNO, termasuklah pemantau dan moderator, sepatutnya lebih peka tentang tanggungjawab mereka mewakili parti. Perbincangan malah kritikan yang konstruktif harus diterima semua dan menunjukkan UMNO yang terbuka.

Tetapi apabila isu-isu dalaman dan perkara remeh dibangkitkan, terutamanya rahsia-rahsia penting, ianya boleh dijadikan senjata pihak lawan. Adakah ini yang kita inginkan? Ada perkara yang boleh dibincangkan secara terbuka, dan ada perkara yang harus disimpan sahaja. Tepuk dada Tanya selera.