Khamis, 12 Jun 2008

Salam Pengenalan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

3 bulan telah berlalu sejak kekalahan Barisan Nasional di negeri Selangor, sebuah negeri yang tidak pernah jatuh di tangan pihak Pembangkang dalam mana-mana pilihan raya sebelum PRU-12.

Pelbagai analisa telah dilakukan tentang faktor-faktor yang membawa kepada kekalahan Barisan yang terdiri diantaranya parti-parti komponen yang bersama mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dari jajahan British.

Ada yang menyalahkan sindrom UMNOPuteras, kegagalan membawa kemajuan ekonomi, isu D.E.B, dan pelbagai lagi faktor termasuklah pergolakan dalaman rakan-rakan UMNO sendiri seperti MIC dan MCA.

Isu-isu ini akan dikupas lebih lanjut di masa akan datang. Lebih penting buat masa sekarang adalah penerimaan bahawa rakyat telah membuat pilihan, dan pilihan itu bukan lagi Barisan Nasional, termasuklah UMNO.

Bagaimanakah rakyat boleh menerima gabungan parti-parti yang kini diberi nama Pakatan Rakyat yang begitu berbeza fahaman ideologi masing-masing?

Adakah ahli Kelab Penyokong PAS berbangsa India (yang jelasnya tidak dapat menjadi ahli penuh kerana bukan beragama Islam) turut percaya dan komited dengan konsep Negara Islam yang diperjuangkan (walaupun sering dinafikan demi politik) PAS sendiri?

Adakah mereka yang beragama Islam menyokong landasan DAP yang percaya bahawa pemimpin Malaysia tidak perlu beragama Islam?

Mungkin ya dan mungkin tidak, tetapi pembaca sendiri boleh membuat andaian berdasarkan keberangkalian.

Kami lebih menjurus ke arah pendapat yang menyatakan bahawa sokongan terhadap Pakatan Rakyat bukanlah di atas dasar atau ideologi yang diketengahkan, tetapi merupakan undi protes yang membangkang kepimpinan Barisan Nasional.

Apabila dilihat daripada konteks ini, bolehlah dibuat dua andaian:

  1. UMNO harus mengakui bahawa ada rasa tidak puas hati di kalangan rakyat terhadap polisi pentadbiran, cara polisi dikuat-kuasakan, taktik-taktik yang diambil, dan tindak-tanduk ahli-ahli UMNO sendiri sebagai peneraju Barisan Nasional dalam pemerintahan tanah air ini;
  2. Jika UMNO, dan rakan-rakan seperti MIC, MCA dan Gerakan, bersedia untuk mendengar kritikan dan membuat perubahan sewajarnya, maka rakyat akan kembali menyokong Barisan Nasional.

Oleh itu, ahli-ahli UMNO Cawangan Damansara Utama (yang selepas ini akan menggunakan singkatan UMNO DU), ingin mengambil langkah awal dari konteks melakukan perubahan dengan menubuhkan laman web dan blog cawangan UMNO yang pertama untuk Damansara Utama.

Tujuan dan objektif laman blog ini adalah:
  1. Menjadi suara pendapat ahli-ahli akar umbi UMNO DU terhadap isu-isu di Malaysia secara am-nya, dan kawasan Petaling Jaya Utara secara khususnya;
  2. Menjadi bukti bahawa sepakat terhadap perjuangan tidak seharusnya bererti sepakat dalam pendapat dan ahli akar umbi UMNO juga mampu berfikir secara rasional dan bebas;
  3. Menjadi titik tolak pergerakan pemikiran baru dikalangan ahli-ahli UMNO agar kekal relevan di masa akan datang;
  4. Menjadi forum mendengar kritikan, rintihan, pujian, pendapat dan idea dari seluruh rakyat Malaysia secara terbuka agar kami dapat berkhidmat untuk rakyat dengan lebih sempurna;
  5. Menjadi medium perhubungan untuk menjawab secara rasional tuduhan yang dilemparkan terhadap Barisan Nasional secara am-nya dan UMNO secara khususnya;
  6. Menjadi saluran menyuarakan kritikan dengan tertib dan rasional terhadap sebarang kekurangan dalam pihak Pakatan Rakyat, seperti mana yang dilakukan (kecuali dengan tertib dan rasional) oleh mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional dan UMNO.
Dengan cara ini, UMNO DU berharap agar persepsi jurang yang wujud di antara kami dan rakyat di masa lampau dapat ditangkis. Lebih penting lagi, UMNO DU ingin menyuntik semangat baru dari generasi muda dengan menjadi pengimbang terhadap propaganda Pakatan Rakyat yang jelas disalurkan melalui medium Internet ini.

UMNO DU sudah bersedia menyahut cabaran zaman moden ini. Kami mendoakan bahawa ini akan menjadi pemangkin kepada revolusi modernisasi tanpa menggadaikan prinsip dan perjuangan di dalam UMNO.

Wassalam
...

5 ulasan:

Sek kito jange pecoh berkata...

syabas br..klu bleh banyakkan article k

Akar umbi UMNO Damansara Utama berkata...

Insyaallah.

Su|tAnZ^ berkata...

salamzzz... good konsep n idea... sy sokong!!!

-19Selatan

Red berkata...

bagus..aku sokong..mm.selain tu buat lah pautan dr blog chedet..mesti dapat hits yg byk..penting tu pasal utk sebarkan apa yg kita fikirkan demi menyelamatkan umno..

buat lah adjustment utk seo supaya blog mudah dijumpai...

daun sekentut berkata...

teruskan usaha demi kehendak orang bawahan UMNO yang tertekan ini....