Rabu, 24 September 2008

Flip-Flop ke Tarik-Tali?

Adakah Malaysia bakal menyaksikan satu kepimpinan Flip-flop diganti oleh satu lagi kerajaan Flip-flop Pakatan Rakyat? Hari demi hari berlalu semenjak September 16, dan kini September 23 telah berlalu tanpa sebarang hasil.


Dalam keadaan terdesak, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua aka Mat Celupar, telah mengumumkan bahawa ada perbincangan di antara pihak PKR dan Pak Lah. Alangkah malunya apabila hari ini DS Anwar sendiri menidakkan kenyataan palsu Tian Chua.


Satu lagi contoh bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tidak bersedia untuk memimpin. Mereka tidak sesuai mengisi kerusi pentadbiran kerana personaliti-personaliti agresif yang tidak tahu mengendalikan diri dalam pentadbiran formal. Mereka lebih sesuai sebagai aktivis sepanjang hayat. Sedarlah hakikat bahawa jika dibiarkan Tian Chua, Elizabeth Wong, dan aktivis-aktivis lain dari NGO-NGO dalam Pakatan Rakyat mentadbir, maka hancurlah Negara ini.

Tetapi akan ada yang akan mengatakan “takkan nak biar kerajaan UMNO yang korup bermaharajalela”. Sama juga situasi-nya. Jika dibiarkan UMNO terus dengan arah tuju sekarang, maka musnahlah institusi UMNO satu hari nanti dan hancurlah kerajaan Barisan Nasional.

Perubahan dalam pemerintahan boleh berlaku melalui desakan luaran (yakni Pakatan Rakyat dan konco NGO liberal) atau dalaman. Itu adalah alternatif yang harus difikirkan semua rakyat Malaysia yang benar-benar inginkan keamanan dan kemakmuran. Jangan dibutakan mata kepada pilihan yang sedia ada.

Ini bukan seperti yang dikatakan DS Anwar – pilih Pakatan Rakyat atau Negara akan musnah. Sebenarnya ada alternatif lain yakni perubahan kuasa dan corak pemerintahan di dalam Barisan Nasional, dimulakan dengan UMNO sendiri.


Persoalan seterusnya adalah: Adakah dengan menggantikan kepimpinan UMNO akan mengubat segala masalah dalam Barisan Nasional?

Jawapannya sudah tentulah tidak. Tetapi dengan menunjukkan bahawa UMNO tidak pekak kepada suara akar umbi, UMNO sendiri akan lebih terbuka untuk mengalami proses transformasi. Ahli-ahli tidak akan takut lagi untuk menyuarakan pendapat. Ahli-ahli akan lebih peka untuk memilih pemimpin di peringkat Cawangan dan Bahagian yang benar-benar memahami situasi dan berkebolehan. Kepimpinan Cawangan dan Bahagian pula akan lebih bersedia untuk menyuarakan isi hati ahli-ahli dan bukan sibuk melobi biznes. UMNO yang demokratik akan membuka ruang pemilihan yang lebih efisyen dan relevan kepada kehendak rakyat.

Pada pendapat penulis, kematangan di peringkat Bahagian termasuklah di Selangor kian tampak dengan keinginan untuk menyatakan yang jelas – kerajaan pimpinan Pak Lah sudah hilang sokongan rakyat, malah ahli UMNO sendiri.


Inilah peluang terbaik untuk UMNO membuang sikap “patronage” lama dan kembali kepada asas demokrasi pemilihan oleh ahli akar umbi.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO tidak akan dapat berubah dari dalam. Budaya ahli-ahli yang ikut pemimpin membuta tuli dan senang ditakutkan dengan ancaman-ancaman perkauman telah dipupuk begitu mendalam keatas orang Melayu khasnya orang UMNO. Sistem pendidikan, media dll. telah berjaya membuatkan kebanyakan anak-anak Melayu merasa 'inferior' dan yakin tidak boleh berdiri sendiri tanpa pemimpin-pemimpin UMNO untuk menyuapkan bantuan. UMNO hanya akan dapat berubah sekiranya jadi sesuatu yang begitu drastik seperti menjadi pembangkang.

Tanpa Nama berkata...

Peluang terbaik untuk UMNO membuang sikap lama? Tak nampak pun. Cara UMNO menangani isu kehilangan keyakinan rakyat ialah dengan menghantar MP ke Taiwan, menggunakan ISA, dan menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen. Menteri dan kakitangan kerajaan yang mengeluarkan pandangan yang bernas dan usaha yang positif terpaksa meletak jawatan ataupun disuruh diam, seperti Zaid dan Murugiah.

Tiada gunanya mengumpan dengan kata-kata manis. Tindakan-tindakan UMNO telah membuktikan bahawa ianya sudah tidak dapat diubati lagi. Sebarang hujah bahawa UMNO akan berubah sebenarnya hanya menunjukkan saudara tidak lagi membahas dari sudut yang realistik.

Tanpa Nama berkata...

Hmm...tanpa nama ni pun sama jugak. Hujah pun tak berasas.


UMNO DU kata sepatutnya, dan seharusnya, perubahan bermula dari dalam parti.

UMNO DU kot kata janganlah anggap hanya satu jalan saja ke arah kerajaan berjiwa rakyat etc2.

Ada alternatif lain, pertimbangkanlah.

Akal letak kat lutut kot.

Yang BERANI letak nama,

Nur Jihan Fatimah

Tanpa Nama berkata...

Bravo JIhan

Tanpa Nama berkata...

Nampakkah ada apa perubahan dari dalam parti?

Muhyiddin dan Ku Li sekadar cakap, dan itu pun untuk kepentingan diri sendiri yang bakal merebut jawatan dalam parti. Nasib mereka yang mengambil tindakan untuk melakukan perubahan pula, tahu-tahulah. Tengok seperti Zaid dan Murugiah. Apa macam?

Jangan sekadar omong-omong kosong. Kalau perubahan dari dalam merupakan bagi UMNO benar-benar merupakan alternatif, kenapalah tidak melakukan perubahan itu dengan segera, sebaliknya mengambil langkah-langkah yang memalukan seperti telah saya ulas di terbitan yang atas?

Tidak kurang pentingnya, kalau UMNO boleh berubah, kenapa tidak PR? Nescaya barah yang perlu diubati dalam PR jauh lebih ringan dari yang dalam UMNO.