Khamis, 30 Oktober 2008

Adakah ini Petanda Masa Depan?

Keputusan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, untuk melantik Low Siew Moi sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menampakkan keengganan Pakatan Rakyat untuk mengenali dan menghormati institusi bumiputera.


Selepas isu UiTM, Khalid Ibrahim sekali lagi menjadi “saluran” manifesto Pakatan Rakyat atau lebih tepat lagi, Anwar Ibrahim untuk memikat kaum bukan-Bumiputera. Isu ini diperbesarkan khas untuk menunjukkan Pakatan Rakyat masih ujud dan sedang melakukan perubahan.

Namun realitinya adalah Pakatan Rakyat di Selangor masih kekal seperti 7 bulan lalu apabila mereka mengambil alih pemerintahan. Persoalan yang paling besar bermain di minda pengundi adalah: di manakah konspirasi dan salah guna kuasa kerajaan Selangor pimpinan Barisan Nasional yang menjadi tunjak kempen Pakatan Rakyat?

Berbalik kepada isu PKNS. Jika ini sebuah syarikat korporat tanpa agenda sosial, maka penulis mungkin boleh terima. Tetapi PKNS adalah sebuah institusi yang mempunyai agenda mendekatkan jurang ekonomi Bumiputera. Aspek terpenting yang harus dipertimbangkan adalah PKNS merupakan pemegang hartanah yang cukup besar di Selangor, dan kebanyakan projek-projeknya mempunyai bukan sahaja objektif keuntungan tetapi juga memenuhi kehendak sosial.

Penulis tidak mengatakan bahawa Low Siew Moi akan menidakkan polisi-polisi pro-bumiputera selama ini, ataupun akan mula membuka tanah-tanah Selangor kepada pemaju bukan bumiputera. Tetapi penulis mempertikaikan kebolehan seorang pemimpin bernama Khalid Ibrahim yang tidak mampu mencari seorang Bumiputera pun yang cukup berkebolehan mengambil alih watak Pengurus Besar.

Ini menunjukkan satu kelemahan dari segi aspek memahami kehendak rakyat. Jika benar khidmat Low diperlukan, maka kekalkannya dengan portfolio yang boleh membawa perubahan tetapi lantik seorang Bumiputera berpengalaman (dan penulis amat yakin keujudan golongan ini) dalam bidang kemajuan hartanah .

Yang menjadi persoalan adalah: sekarang Pengurus Besar PKNS, tetapi mungkinkah tak lama lagi jawatan Menteri Besar Selangor pun dipegang bukan Bumiputera?

Khamis, 23 Oktober 2008

Suntikan Ekonomi Untuk Kebaikan Semua

Tatkala seluruh jentera UMNO sibuk berkempen demi pencalonan dan melobi untuk kedudukan, ekonomi dunia terus merudum ke arah kegawatan global.

Jelas bahawa satu penilaian komprehensif harus dilakukan untuk memastikan Malaysia tidak turut terikat jatuh ke dalam “lautan” kegawatan sehingga lemas. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia tidak terkecuali dalam menerima tempias masalah kegawatan dunia, memandangkan betapa pentingnya nilai eksport perindustrian dan perusahaan komoditi terhadap ekonomi negara.

Tetapi ini tidak bermakna tiada apa-apa yang boleh dilakukan untuk memperkasakan kedudukan ekonomi negara agar dapat meredah arus globalisasi.


Kerana itulah penulis agak kecewa dengan keputusan Kerajaan untuk menggunakan wang KWSP sejumlah RM 5 bilion untuk ditambah ke dana ValueCap yang sudah bernilai RM 5 bilion. Dana ini akan digunakan untuk membantu syarikat-syarikat yang telah hilang nilainya di dalam pasaran saham.


Dalam teori, jumlah wang itu akan digunakan untuk memastikan nilai saham kekal pada paras yang akan menghalang situasi panik. Pasaran saham yang stabil akan menjana modal buat syarikat-syarikat besar supaya mereka yakin untuk meneruskan projek-projek. Secara tidak langsung, putaran ekonomi akan bermula semula.

Tetapi dalam realitinya, penulis merasakan bahawa tindakan ini akan hanya menaikkan nilai saham pemilik individu syarikat-syarikat, tanpa membawa sebarang perubahan drastik terhadap operasi syarikat. Ahli perniagaan yang bijak dan cekap akan melihat situasi gawat dan akan memegang kepada asetnya sehinggalah keadaan sudah mencecah paras terendah sebelum memulakan semula projek.

Sementara itu, kontraktor kecil-kecilan, syarikat yang menjual bahan-bahan sokongan, mereka yang menawarkan khidmat seperti membekalkan alat tulis akan merasa bahang kegawatan apabila syarikat-syarikat besar yang selesa dengan nilai saham yang didokong duit rakyat menghentikan perbelanjaan untuk menjimatkan kos.

Bukan itu sahaja, tindakan ini akan lebih menguntungkan pemegang saham institusi yang biasanya terdiri daripada syarikat luar negara atau pelabur yang akan mendapat untung tanpa sebab munasabah.

Yang lebih merisaukan penulis, tindakan sebegini memerlukan sistem yang kompleks untuk memastikan wang akhirnya disalurkan kepada majoriti rakyat daripada menambahkan pendapatan beberapa individu atau institusi berkepentingan sahaja.

Sebaliknya, penulis mencadangkan jumlah wang yang cukup besar itu digunakan untuk menjana perusahaan kecil-sederhana syarikat-syarikat tempatan dengan membenarkan pinjaman rendah faedah. Syarikat-syarikat juga boleh menggunakan dana untuk menyusun semula pinjaman mereka lantas membebaskan wang setiap bulan dan dijadikan modal pusingan.

Kerajaan juga harus melihat semula projek-projek dan memilih projek yang melibatkan paling banyak usaha-sama dengan syarikat kecil-sederhana disamping memberi kesan jangka masa panjang kepada rakyat. Ini termasuk projek membaik-pulih infrastruktur fizikal seperti jalan raya. Projek membina monumen dan sebagainya harus diabaikan buat sementara waktu. Kos pembinaan juga harus dirujuk semula dengan membuang perhiasan yang terlampau mahal.

Yang penting sekarang bukanlah memaksimakan keuntungan beberapa syarikat terpilih sahaja tetapi untuk membenarkan lebih banyak syarikat terus beroperasi walaupun ini bermakna mereka hanya cukup menampung kos menjalankan perniagaan.

Rombakan lebih mendalam boleh dan harus diusahakan tetapi ini memakan masa dan kekuatan politik. Sekarang bukanlah masanya untuk merombak sistem ekonomi tetapi untuk member suntikan agar kita tidak melihat penguncupan ekonomi yang mendadak.

Isnin, 20 Oktober 2008

Strategi Menidakkan Suara Akar Umbi?

Biasalah, minggu “rumah terbuka” membuatkan penulis agak kesibukan untuk mengemaskini laman blog. Tetapi ini tidak bermakna penulis tidak mengikuti kisah politik tanah air, terutamanya pencalonan di peringkat Bahagian bagi Persidangan UMNO yang buat masa sekarang dijadualkan pada Mac 2009.

Penulis telah lama mencatatkan bahawa tempoh yang dipersetujui tidak membawa apa-apa makna kepada sesiapa. Mac 2009 hanyalah satu penangguhan satu kepastian, melainkan ada agenda tersembunyi.

Ini jelas apabila melihat bagaimana saban hari serangan terhadap keperibadian DS Najib semakin menjadi-jadi. Tidak cukup dengan itu, sesetengah pihak media yang pro-Pak Lah telah memulakan kempen menakutkan orang ramai tentang kombinasi Najib dan Muhyiddin yang dikatakan bersifat Melayu ultra dan bukan had-hari seperti Pak Lah.

Mulalah ada yang mempertikaikan pencalonan Najib, Muhyiddin dan Mukhriz sebagai satu pengembalian era Mahathir. Ini kononnya akan menakutkan orang ramai. T

etapi pada penulis, jika era-Mahathir yang dimaksudkan adalah satu tempoh di mana kemajuan ekonomi berlaku dengan pesat di samping keharmonian rakyat dipupuk, maka lebih baiklah Melayu ultra daripada seorang flip-flop.

Kalau ya pun mereka mengikut fahaman Mahathirisme, ini tidak bermakna Najib dan Muhyiddin akan mengabaikan kaum-kaum lain. Sebaliknya, jika dilihat pada catitan Tun Dr Mahathir di CheDet, beliau tidak pernah mempertikaikan usaha-usaha memulihkan sistem perundangan, BPR dan lain-lain reformasi dalam institusi.

Cuma yang dirisaukan Tun, dan juga penulis, adalah bagaimana reformasi ini tidak difikirkan secara mendalam. Bagaimana reformasi digunakan sebagai satu jalan untuk membodek. Bagaimana reformasi digunakan sebagai taktik terdesak untuk membuatkan orang gembira sementara.

Malah, Tun sendiri sering mengutarakan bahawa Melayu seharusnya malu kerana terus bergantung kepada D.E.B. D.E.B bukanlah sesuatu untuk dibanggakan, katanya. Ianya seakan berbangga memakai tongkat. Tetapi realitinya sekarang adalah tanpa D.E.B Melayu akan lebih mundur. Sebelum D.E.B dimansuhkan, Melayu harus berubah.

Berbalik kepada pemilihan sepanjang mesyuarat Bahagian. Terdapat dua strategi berbeza digunakan untuk menidakkan kehendak akar umbi.

DS Najib terlampau kuat di kalangan ahli UMNO untuk ditentang oleh ahli UMNO bagi jawatan Presiden. Kerana itulah tiada proksi Pak Lah untuk jawatan itu. Sebaliknya, taktik memburuk-burukkan keperibadian Najib, dan membangkitkan kontroversi demi kontroversi digunakan. Ini adalah dengan harapan membangkitkan kebencian rakyat jelata terhadap Najib sehingga ke tahap beliau tidak boleh memegang jawatan Perdana Menteri. Pak Lah akan jadi hero dan tolong mententeramkan keadaan.


Bagi Muhyiddin pula, di mata pandangan kebanyakan rakyat jelata, mereka selesa dengannya sebagai pemimpin. Malah, rekod bersih beliau dan keperibadian yang cukup penuh kredibiliti sebagai pemimpin menjadikan beliau antara beberapa pemimpin UMNO yang diterima ramai. Inilah sebabnya tiada cubaan memburukkan Muhyiddin oleh geng Pak Lah. Sebaliknya mereka meletakkan Muhd Taib dan Ali Rustam untuk turut bertanding, walaupun seperti Nazri Aziz katakan, mereka berdua secara teknikal sudah tidak layak untuk menjadi Timbalan Presiden.

Tetapi mereka tetap ada, dan dengan sisa-sisa terakhir wang empayar Kerajaan Anak Menantu, penulis yakin Ali Rustam akan berjaya melepasi kuota minima 39 pencalonan. Dan jika sudah dicalonkan, tempoh 5 bulan sehingga ke mesyuarat di bulan Mac boleh digunakan untuk mengubah pendirian perwakilan UMNO yang mungkin masih dibuai khayalan bahawa sikap flip-flop akan diterima akar umbi.

Realitinya adalah perwakilan UMNO harus sedar jika mereka juga menjadi lalang, jika mereka tidak berpegang teguh pada janji-janji, mereka akan dipaksa keluar juga. Lihat sajalah situasi di Rantau Panjang dan beberapa Mesyuarat Pemuda lain di mana taktik untuk mendiamkan ahli-ahli akar umbi ditolak 100%. Mereka kini berani memberontak, kerana sekaya manapun anda, ianya tidak cukup untuk membayar maruah sebilangan besar ahli-ahli akar umbi.


...

Selasa, 14 Oktober 2008

Perubahan Yang Membawa Kejatuhan...

Keputusan DS Abdullah Ahmad Badawi telah membawa beberapa perubahan serta-merta yang ramai menganggap sebagai positif. Di antaranya perletakan jawatan Kalimullah Hassan dari New Straits Times Press dan Patrick Lim @ Patrick Badawi dari kumpulan Equine. Semenjak Mac 08 juga harga saham Scomi terus merudum.

Perubahan paling ketara adalah bagaimana Khairy Jamaluddin, menantu DS Abdullah yang begitu yakin akan menjadi Perdana Menteri termuda Malaysia, kini masih tercari-cari pencalonan untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda.

Sokongan hebat buat Mukhriz adalah sesuatu yang Mukhriz sendiri tidak jangkakan memandang beliau begitu pesimis hanya beberapa bulan yang lalu. Tetapi momentum menentang Pak Lah yang hampir-hampir lenyap apabila Najib dan Pak Lah mengumumkan pelan peralihan kuasa kembali berputar semenjak kekalahan di Permatang Pauh.

Mukhriz: A Sign That Grassroot Wants Change (Malaysiakini)

Dalam masa beberapa bulan sahaja semenjak Mac 08, UMNO telah melihat bagaimana perubahan dalaman boleh dilakukan oleh ahli-ahli, atau sekurang-kurangnya kini ahli UMNO semakin berani bersuara.

Dari penulis blog seperti Big Dog, sehingga ke MP seperti Datuk Nur Jazlan, jelas ahli UMNO semakin menunjukkan keberanian.

Mungkin inilah peninggalan terunggul pemerintahan DS Abdullah. Sama ada disengajakan atau tidak, beliau telah membenarkan peredaran maklumat secara terbuka. Mungkin ini juga masa yang sesuai memandangkan peningkatan dalam pengguna internet dan teknologi moden yang lain, tetapi tidak boleh dinafikan beberapa hak bersuara yang lenyap dulu kini kembali bertapak.

Masalahnya, penulis berpendapat kepimpinan UMNO tidak bersedia untuk keadaan ini. Ada yang sebelum PRU 12 mengutuk penulis blog, kini dengan tidak malunya membuka blog sendiri (walaupun sebenarnya mereka hanya bayar penulis upahan). Dan apalah gunanya membiarkan rakyat bersuara jika kepimpinan tidak mendengar rintihan dan keluhan, kerisauan dan aduan, yang membelenggu negara ini?

Itulah ironinya situasi pada masa sekarang. Keterbukaan yang membawa kepada perubahan-perubahan yang diinginkan ahli UMNO juga merupakan sebab UMNO gagal bertindak secara efektif memahami informasi yang disampaikan, dan akhirnya kekalahan di PRU 12. Keterbukaan ini jugalah yang menyebabkan Pak Lah tumbang tanpa bertanding.

PKR Janji Kosong Lagi

Oktober 13 berlalu tanpa insiden di Parlimen. Mungkin di kalangan bukan-Melayu masih ramai yang yakin DS Anwar akan kembali berkuasa. Tetapi rakyat harus sedar bahawa UMNO kini seakan diberi nafas baru. Dengan pemilihan MCA bakal berlangsung tidak lama lagi, angin perubahan dijangka akan menembusi Barisan Nasional.

Jika kepimpinan baru dalam Barisan berusaha untuk bekerjasama, dan meneruskan permintaan rakyat terutamanya dalam pembanterasan gejala rasuah, nescaya peluang untuk DS Anwar akan menjadi semakin nipis.

Kini, mereka harus mengambil serius peranan sebagai parti pembangkang di Parlimen, dan Parti Memerintah di peringkat negeri. Di manakah janji-janji besar seperti pilihan-raya melantik Majlis Perbandaran? Di manakah kes-kes rasuah dan pecah amanah yang dilemparkan kepada pemimpin UMNO?

Sebaliknya, ahli mereka sendiri kini sedang bersembunyi.

Khabarnya Zulkifli Nordin bakal menyertai UMNO. Pasti selepas ini PKR akan mengatakan – silalah pergi, kami pun tidak mahu engkau. Dalam erti kata lain, seperti penulis catatkan sebelum ini, mereka hanya mahu golongan Melayu yang memenuhi criteria mereka – bebas dan liberal.

Rabu, 8 Oktober 2008

Pak Lah Berundur...(Malaysiakini)

Akhirnya keputusan telah dicapai. Satu keraguan yang membelenggu parti dan negara sudah terurai dengan digantikan satu lagi keraguan - adakah DS Najib personaliti paling sesuai untuk memimpin negara?

Sebelum membincangkan secara lebih lanjut, cukuplah sekadar penulis, bagi mewakili UMNO Damansara Utama, mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana telah memimpin parti ini melalui dua Pilihan-raya umum dengan kejayaan.

Walaupun penulis adalah antara pengkritik cara pemerintahan Pak Lah, penulis tidak pernah mahu beremosi dalam menyampaikan wadah dan pendapat. Jadi penulis juga menyampaikan rasa hormat di atas keputusan Pak Lah.
Yang tinggal persoalan: Adakah keputusan ini akan berubah jika tiba-tiba Bahagian mula mencalonkan juga Pak Lah kerana gerakan orang-orang di bawahnya?
___________________________________________________________________

PM not contesting, to quit in March
Oct 8, 08 4:39pm

Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi has decided not to defend his Umno president's post and will quit in March next year when the ruling party meets for its annual general assembly.
MCPX

Abdullah told leaders of the 13 Barisan Nasional component parties at a BN supreme council meeting in Putra World Trade Centre this afternoon that he would be stepping down as prime minister in five months time.

abdullah ahmad badawi pak lah angry umno“PM to step down in March, deputy PM to take over. He won’t stand for Umno election,” a component party leader told Malaysiakini via an SMS message. The meeting is still underway.

It is also learnt that the BN leaders are presently thanking Abdullah for his leadership.

As the prime minister was briefing BN leaders on the power transfer plan, scores of Abdullah’s supporters gathered outside the PWTC building to urge him to stay on.

Armed with banners, the supporters are calling on the embattled premier to continue until 2010 amid the now confirmed speculation that he might be forced to step down earlier.

Most short-lived as PM

Should Abdullah resign in March 2009, he would be the most short-lived as prime minister, serving a total of five years five months.

The country's third prime minister Hussein Onn, who resigned in 1981 to make way for Dr Mahathir Mohamad ostensibly due to health concerns, served for five years six months.

Abdullah, who took power on Oct 31, 2003 from Mahathir, won a landslide victory in the March 2004 general election only to suffer an unprecedented defeat four years later.

He was initially buoyed by a groundswell of support for his promises of reform after two decades of hardline rule under Mahathir - the country’s longest serving leader.

However, he was quickly seen as weak and ineffective after failing to come to grips with endemic corruption, high crime rates and inefficient bureaucracy, issues which he had vowed to address in his 2004 election manifesto.

____________________________________________________________________


Masih ada yang sayangkan Pak Lah, walaupun wartawan lebih kurang sama ramai dengan penyokong...yang kanan sekali tersenyum kambing pula:)

Isnin, 6 Oktober 2008

Renungan Politik UMNO dan Rumah Terbuka Pak Lah

Salam sejahtera, dan selamat hari raya dari penulis mewakili warga akar umbi UMNO Damansara Utama.

Sudah tentu ramai yang tidak “sabar” untuk pulang bekerja. Maklumlah, cuti yang diambil tidak serupa cuti, dengan kunjung-mengunjung menjadi adat dan tradisi menyambut Aidilfitri.

Topik hangat yang sering menjadi perbualan tentulah politik dalaman UMNO. Siapa lagi yang ingin bertanding menjadi Timbalan-Presiden? Penulis pernah mencatatkan kebimbangan bahawa penangguhan tarikh Mesyuarat Agung pasti bersebab.

Tiada alasan untuk DS Najib bersetuju menangguhkan sesuatu yang “pasti” yakni menjadi Presiden dan Perdana Menteri MELAINKAN beliau mempunyai strategi tersendiri. Lihat sajalah bagaimana Zahid Hamidi beriya menawarkan diri sebagai calon Timbalan-Presiden, seakan mengetahui bahawa Pak Lah akan mengumumkan beliau tidak akan bertanding.

Is Zahid a Check on Muhyiddin (Malaysiakini)

Datuk Zahid Hamidi yang pernah menjawat kedudukan Ketua Pemuda sebelum dibuang parti akibat menyokong DS Anwar dalam gerakan Reformasi mempunyai “pengalaman” sebagai Timbalan Menteri Pelancongan (antara portfolio “penting” dalam kabinet...) selama 4 tahun sebelum baru-baru ini dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal-ehwal agama.

Sedarkah Datuk Zahid, dan juga mereka yang bakal menyokongnya, bahawa jawatan Timbalan Presiden dalam UMNO adalah suatu jawatan yang memberi implikasi besar kepada negara? Adakah dengan pengalaman setahun jagung dalam pentadbiran dan latar belakang ijazah sarjana sastera yang dimiliki Datuk Zahid sudah cukup untuk menjadikan beliau Timbalan PERDANA MENTERI yang akan menaikkan mutu-taraf hidup rakyat, dan pada masa yang sama mengembalikan rasa hormat terhadap UMNO?

Bakal Timbalan Perdana Menteri? Wallahualam...


Soalan yang sama harus ditanya tentang Ali Rustam, Menteri Besar Melaka yang juga menyatakan hasratnya untuk bertanding.

Itulah masalah yang penulis lihat di dalam UMNO. Apabila ada kisah-kisah seperti Adnan Yaacob ingin jadi Ketua Pemuda, dan Zahid Hamidi ingin menjadi Timbalan Presiden, penulis hanya mampu menggeleng kepala dan tertanya, “Adakah ahli-ahli UMNO sedar apa yang mereka sedang lakukan?”.

Apabila Kita Lemah

Apabila kita lemah, kita lihat pelbagai pihak mengambil peluang. Baik dari segi politik, dari segi hak kaum, dari segi hak agama.

Sudah menjadi adat dan tradisi sempena bulan Syawal yang mulia untuk mengadakan rumah terbuka. Rumah terbuka diadakan dengan niat yang baik untuk menjemput kenalan dan bagi ahli politik, rakyat jelata, untuk datang menjamah hidangan dan beramah mesra.

Penulis bukan seorang yang buta dan dangkal. Sebagai graduan undang-undang, penulis memahami isu dan kontroversi tentang ISA. Penulis faham kenapa ada segelintir masyarakat yang memandang sinis tentang ISA dan penggunaannya.

Tetapi haruskah satu adat dan tradisi kaum Melayu dicemari oleh protes ala mereka di Barat? Sudahkah hilang rasa hormat setitik pun dari golongan anti-ISA dan HINDRAF? Adakah keadaan kita sekarang terlampau lesu sehingga “PEMIMPIN” sendiri terpaksa menerima hinaan di rumah terbukanya yang diadakan dengan nawaitu yang murni?

Begitu lemahnya keadaan UMNO sekarang sehingga bukan kumpulan itu meminta maaf, tetapi MEREKA PULA INGIN MENYAMAN Utusan Malaysia kerana membuat laporan berbaur negatif dan bersifat perkauman. Siapa sebenarnya yang bersifat perkauman?

Apabila seorang blogger Cina menggunakan kata-kata kasar (Malaysiakini) untuk menggambarkan betapa sedihnya beliau kehilangan telefon bimbit kerana dicuri dua orang lelaki berbangsa India, dan kemudian meminta maaf, dengan senangnya HINDRAF menerima.

Tetapi isu itu menunjukkan bahawa stereotaip perkauman bukan sahaja terhad kepada kaum Melayu yang selama ini dituduh sebagai “racist”. Ianya ujud di kalangan setiap bangsa, walaupun ada yang berpura-pura melaungkan “equality”.

Blogger Cina itu meluahkan perasaan yang terpendam di dada. Yang marah adalah kaum India, bukan kaum Cina. Entah-entah, di balik tabir, kaum Cina juga mengangguk bersetuju dengan pandangan blogger remaja itu. Mereka juga sudah tentu ada stereotaip tentang kaum Melayu.

Semuanya dipendamkan kerana ingin membuat kaum Melayu rasa selesa. Selesa dibuai rakan-rakan baru Cina dan India yang mempromosikan kesamarataan. Ya, sudah tentulah mereka akan menyokong seorang “Melayu” yang membiarkan anaknya membela anjing dan mengaku secara terbuka meminum arak sehingga mereka sanggup berkempen membebaskannya dari tahanan ISA. Bagaimana pula dengan tahanan Jemaah Islamiah di bawah ISA? Senyap pulaaakk....

Melayu dan Islam yang diinginkan mereka adalah Melayu moden, yang sama-sama lepak di disko dengan anak-anak bangsa lain, minum air setan untuk berbuka puasa. Islam yang diingini adalah Islam yang progresif, di mana yang membezakan mereka hanyalah pada nama Tuhan sahaja, tiada sembahyang, tiada puasa.

DAP baru-baru ini dengan bangganya melantik Tunku Abdul Aziz sebagai Naib Pengerusi. Ya, indah sungguh gambaran yang diberikan parti DAP. Kononnya mereka tidak mengira bangsa. Tetapi tanpa mahu mengaibkan sesiapa, renungkanlah persoalan ini : adakah “Melayu” yang diinginkan mereka benar-benar menjalani kehidupan Melayu Islam?


Tunku Abdul Aziz

Jika sokongan kepada tindakan Hindraf di rumah terbuka itu datang daripada “Melayu” progresif seperti Farish Noor tidaklah mengejutkan, tetapi apabila jelas seorang pemimpin Islam bersetuju, sudah ada yang tidak kena.

Sokongan Abdul Hadi Awang terhadap tindakan HINDRAF menunjukkan bahawa PAS sudah hilang arah tuju, sudah ternganga menunggu kuasa yang akan disuap oleh pemimpin dua muka paling terkemuka, DS Anwar Ibrahim. PAS yang sanggup melepaskan ideologi asas mereka dengan interpretasi yang hanya memperbodohkan orang ramai, kini sanggup melihat seorang saudara Islam dihina di satu upacara yang penuh dengan adat dan tradisi.



Walaupun kita bermusuhan dalam politik, tetapi ada kalanya batasan harus ditetapkan.