Isnin, 20 Oktober 2008

Strategi Menidakkan Suara Akar Umbi?

Biasalah, minggu “rumah terbuka” membuatkan penulis agak kesibukan untuk mengemaskini laman blog. Tetapi ini tidak bermakna penulis tidak mengikuti kisah politik tanah air, terutamanya pencalonan di peringkat Bahagian bagi Persidangan UMNO yang buat masa sekarang dijadualkan pada Mac 2009.

Penulis telah lama mencatatkan bahawa tempoh yang dipersetujui tidak membawa apa-apa makna kepada sesiapa. Mac 2009 hanyalah satu penangguhan satu kepastian, melainkan ada agenda tersembunyi.

Ini jelas apabila melihat bagaimana saban hari serangan terhadap keperibadian DS Najib semakin menjadi-jadi. Tidak cukup dengan itu, sesetengah pihak media yang pro-Pak Lah telah memulakan kempen menakutkan orang ramai tentang kombinasi Najib dan Muhyiddin yang dikatakan bersifat Melayu ultra dan bukan had-hari seperti Pak Lah.

Mulalah ada yang mempertikaikan pencalonan Najib, Muhyiddin dan Mukhriz sebagai satu pengembalian era Mahathir. Ini kononnya akan menakutkan orang ramai. T

etapi pada penulis, jika era-Mahathir yang dimaksudkan adalah satu tempoh di mana kemajuan ekonomi berlaku dengan pesat di samping keharmonian rakyat dipupuk, maka lebih baiklah Melayu ultra daripada seorang flip-flop.

Kalau ya pun mereka mengikut fahaman Mahathirisme, ini tidak bermakna Najib dan Muhyiddin akan mengabaikan kaum-kaum lain. Sebaliknya, jika dilihat pada catitan Tun Dr Mahathir di CheDet, beliau tidak pernah mempertikaikan usaha-usaha memulihkan sistem perundangan, BPR dan lain-lain reformasi dalam institusi.

Cuma yang dirisaukan Tun, dan juga penulis, adalah bagaimana reformasi ini tidak difikirkan secara mendalam. Bagaimana reformasi digunakan sebagai satu jalan untuk membodek. Bagaimana reformasi digunakan sebagai taktik terdesak untuk membuatkan orang gembira sementara.

Malah, Tun sendiri sering mengutarakan bahawa Melayu seharusnya malu kerana terus bergantung kepada D.E.B. D.E.B bukanlah sesuatu untuk dibanggakan, katanya. Ianya seakan berbangga memakai tongkat. Tetapi realitinya sekarang adalah tanpa D.E.B Melayu akan lebih mundur. Sebelum D.E.B dimansuhkan, Melayu harus berubah.

Berbalik kepada pemilihan sepanjang mesyuarat Bahagian. Terdapat dua strategi berbeza digunakan untuk menidakkan kehendak akar umbi.

DS Najib terlampau kuat di kalangan ahli UMNO untuk ditentang oleh ahli UMNO bagi jawatan Presiden. Kerana itulah tiada proksi Pak Lah untuk jawatan itu. Sebaliknya, taktik memburuk-burukkan keperibadian Najib, dan membangkitkan kontroversi demi kontroversi digunakan. Ini adalah dengan harapan membangkitkan kebencian rakyat jelata terhadap Najib sehingga ke tahap beliau tidak boleh memegang jawatan Perdana Menteri. Pak Lah akan jadi hero dan tolong mententeramkan keadaan.


Bagi Muhyiddin pula, di mata pandangan kebanyakan rakyat jelata, mereka selesa dengannya sebagai pemimpin. Malah, rekod bersih beliau dan keperibadian yang cukup penuh kredibiliti sebagai pemimpin menjadikan beliau antara beberapa pemimpin UMNO yang diterima ramai. Inilah sebabnya tiada cubaan memburukkan Muhyiddin oleh geng Pak Lah. Sebaliknya mereka meletakkan Muhd Taib dan Ali Rustam untuk turut bertanding, walaupun seperti Nazri Aziz katakan, mereka berdua secara teknikal sudah tidak layak untuk menjadi Timbalan Presiden.

Tetapi mereka tetap ada, dan dengan sisa-sisa terakhir wang empayar Kerajaan Anak Menantu, penulis yakin Ali Rustam akan berjaya melepasi kuota minima 39 pencalonan. Dan jika sudah dicalonkan, tempoh 5 bulan sehingga ke mesyuarat di bulan Mac boleh digunakan untuk mengubah pendirian perwakilan UMNO yang mungkin masih dibuai khayalan bahawa sikap flip-flop akan diterima akar umbi.

Realitinya adalah perwakilan UMNO harus sedar jika mereka juga menjadi lalang, jika mereka tidak berpegang teguh pada janji-janji, mereka akan dipaksa keluar juga. Lihat sajalah situasi di Rantau Panjang dan beberapa Mesyuarat Pemuda lain di mana taktik untuk mendiamkan ahli-ahli akar umbi ditolak 100%. Mereka kini berani memberontak, kerana sekaya manapun anda, ianya tidak cukup untuk membayar maruah sebilangan besar ahli-ahli akar umbi.


...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

haha lawak ke apeni
maruah umno boleh dibeli