Isnin, 29 September 2008

Jangan Gembira Lagi...

Umum diketahui bahawa Mesyuarat Agung UMNO akan ditunda ke Mac 2009. Ramai yang berpendapat Pak Lah hanya akan menjadi Perdana Menteri patung menjelang tarikh peralihan kuasa baru ini. Malah, pengkritik terhebat Pak Lah di dalam UMNO, Tan Sri Muhyiddin juga turut bergembira dengan keputusan yang dicapai Jumaat lalu.

Diramalkan bahawa satu pelan baru telah dicapai yakni Pak Lah akan mengumumkan beliau tidak akan bertanding jawatan Presiden UMNO, diikuti dengan pencalonan besar-besaran di peringkat bahagian supaya DS Najib menjadi Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Di antara tarikh tamatnya mesyuarat bahagian sehinggalah ke Mesyuarat Agung, Pak Lah akan memberikan lebih banyak kuasa kepada DS Najib sehinggalah peralihan kuasa menjadi lengkap. Pada waktu yang sama, Najib dijangka ditugaskan untuk membina semula jambatan hubungan bersama parti-parti komponen, terutamanya MCA yang juga bakal melihat Presiden baru menjelang 2009. Muhyiddin pula akan sibuk mengembalikan sokongan ahli-ahli UMNO dari peringkat akar umbi sehinggalah kepimpinan di peringkat negeri.

Sudah tentulah Tengku Razaleigh tidak berpuas hati. Harapan beliau untuk memegang tiket 1-2 bersama Muhyiddin lenyap begitu sahaja dengan proses “perbincangan” senyap-senyap yang diadakan antara Pak Lah dan Najib. Sayang sekali, kerana Ku Li dilihat sebagai ramai di luar parti sebagai seorang yang boleh “diterima pakai”.


Tetapi ahli akar umbi yang senyum gembira melihat “pemergian” Pak Lah harus berfikir panjang. Kenapa harus ditangguhkan sesuatu yang sudah menjadi kepastian? Jika pada bulan Mac tahun depan Pak Lah akan pergi dan digantikan Najib, apa salahnya diadakan peralihan itu pada Disember?

Penulis pasti alasan memastikan DS Najib membiasakan diri dengan tugas dan portfolio akan digunakan untuk memberi justifikasi melambatkan penyerahan kuasa. Siapakah yang akan tertipu dengan helah ini? DS Najib bukannya orang baru dalam pemerintahan. Sudah 20 tahun berkhidmat, dan jika beliau ingin belajar, adakah Pak Lah “tuan guru” yang sesuai memandangkan beliau disuruh letak jawatan kerana ketidak-cekapan dalam memerintah parti dan Negara?

Malah, yang lebih pelik adalah mesyuarat bahagian dibenarkan berlangsung seperti biasa. Ini bermaksud ada ruang lebih kurang 4 bulan sebelum keputusan yang dicapai di peringkat bahagian di perlihatkan dalam Mesyuarat Agung.

Jurang ini memberikan pelbagai kemungkinan. Mungkin juga kes Altantuya akan menular semula sehingga membuatkan Najib hilang sokongan. Atau mungkin juga jurang masa itu akan membenarkan Najib menguatkan sokongan untuk timbalan presiden yang diingininya, seorang yes man yang sendiri tidak mempunyai hasrat menjadi Presiden seperti Muhyiddin. Wallahualam.

Macam-macam boleh jadi dalam politik. UMNO jangan pula angkuh sehingga menjelang Mac tahun depan, Pak Lah menyerahkan kerusi pemimpin parti pembangkang kepada Najib.

Malaysiakini Juga Tidak Adil?

Nasib baiklah Pakatan Rakyat lebih sibuk buat entah apa sehingga masalah-masalah dalam UMNO dibiarkan begitu sahaja. Selama ini penulis cuba melihat secara objektif, tetapi yang jelas kini adalah DS Anwar telah hilang kredibiliti. Sebelum ini ramai juga teman-teman penulis yang cukup yakin dengan tarikh 16 September, dengan janji ingin berjumpa Agong, dengan “the numbers are increasing by minute”...tetapi kini semuanya sekadar melihat politik dengan sinis.

Pada mereka, DS Anwar tidak berbeza dengan mana-mana ahli politik lain. Politik adalah mainan kotor. Rakyat juga yang merana.

Apatah lagi apabila melihat kebodohan seorang ahli PKR yang juga EXCO di Perak, saudara Zul Hassan, yang entah kenapa mengakui beliau melakukan hubungan seks dengan seorang warga Cina.

Keluarga penulis hanya mampu menggeleng ketawa melihat telatah badut Zul Hassan menjawab persoalan daripada wartawan. Apa sudah jadi?



Yang lebih bodoh adalah penasihat-penasihat PKR termasuklah saudara peguam yang kini mahu JAIP menyiasat mereka yang menawarkan perempuan Cina tersebut. Perangkap dari pihak berkuasa memang biasa dilakukan, dan ini sering dilihat dalam kes-kes dadah.


Jika kita membuat pihak berkuasa bertanggungjawab kerana menawarkan habuan, maka lenyaplah satu lagi cara mereka untuk menangkap mereka yang bersalah. Jelas sekali di sini bahawa semuanya adalah tawaran semata-mata. Zul Hassan boleh menolak, boleh membuat laporan, boleh mengadu kepada PKR kalau tak mahu ke polis. Tetapi tidak. Semua ahli PKR ini terima dengan senyuman dan “kepuasan” dan kini ingin menyalahkan orang lain.

Yang menariknya, Malaysiakini seakan-akan hanya mahu menunjukkan satu pihak sahaja. Malah, hari ini, apabila dilaporkan semua media massa bahawa Zul Hassan telah dipecat, Malaysiakini masih tidak melaporkan kejadian ini. Yang lebih penting di halaman utama adalah ruangan pendapat umum mengkritik ISA.


Inilah yang penulis katakan cakap tak serupa bikin. Jangan sampai kerana ini ahli PKR semuanya elok belaka.

1 ulasan:

abe MIE 'TERJAH' berkata...

http://pkrpasdap.blogspot.com

kesian kat zul..tu lah lain kali jangan cakap orang UMNO tak betul aje..kena batang hidung baru tahu...

satu lagi, PKR kat selangor dah goyah sebab kaum india hilang kepercayaan pada MB khalid pasal kuil dirobohkan...

anwar pula hadapi dilema sebab PAS mahukan Islam jadi keutamaan...

Macam mana dia nak jawab kat DAP?

susah sangat, semua parti politik jadi macam SAPP...calon bebas...

senang begitu