Isnin, 1 September 2008

Malaysia Di Ambang Perubahan

16 hari sebelum Hari Malaysia. 16 hari sebelum tarikh yang dijanjikan DS Anwar untuk mengambil alih pemerintahan tanah air tercinta. 16 hari sebelum DS Anwar menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang tidak pernah mengenal erti kekalahan. 16 hari sebelum dijanjikan permulaan baru bagi rakyat Malaysia.

Pakatan Moots Sept 16 Holiday (Malaysiakini)

Apakah benar omong-omong dari DS Anwar? Wallahualam. Tetapi yang jelas adalah setelah 51 tahun mengecapi kemerdekaan, tanah air tercinta sedang melalui satu perubahan yang mungkin menghancurkan segala yang telah dicapai ataupun membawa satu alaf baru yang penuh dengan harapan buat Malaysia.

Sewaktu menghadiri sebuah forum kelolaan Sekretariat Melayu Muda yang menampilkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri ke-4, dan Tan Sri Sanusi Junid, penulis dapat merasakan konflik yang jelas ujud di kalangan orang Melayu di mana keinginan untuk berpegang kepada sejarah tetapi pada masa yang sama mengakui kelemahan diri sendiri sukar untuk disatukan.

Tun Dr. Mahathir juga mencerminkan konflik ini apabila beliau berpegang teguh bahawa hak-hak Melayu tidak harus dipersoalkan tetapi pada masa yang sama beliau kecewa bagaimana kaum Melayu sendiri tidak menggunakan hak dan peluang yang disediakan sebaik mungkin.

Malah, boleh penulis simpulkan bahawa Dr Mahathir lebih risau melihat kaum Melayu merosakkan masa depan mereka dengan mudah menyerah hak (seperti AP dan kontrak) yang diberikan daripada risau tentang apa yang bakal dilakukan kaum lain.

Dalam erti kata lain, jika Melayu tidak mahu berubah, jika masyarakat Melayu terus di dalam kepompong keselesaan, maka akan tiba satu masa apabila hak dan kuasa yang dimiliki hilang begitu saja. Tun Dr. Mahathir tidak menyalahkan kaum lain, tetapi kaum Melayu sendiri kerana gagal menguasai arena ekonomi dan pendidikan sehingga terlampau bergantung kepada kuasa politik.

Adakah kegagalan ini kerana sikap dan sifat orang Melayu sahaja, atau adakah sistem yang diperkenalkan kepimpinan menggalakkan kegagalan ini? Ahli akar umbi UMNO harus menyedari hakikat ini bukan untuk takutkan perubahan atau benci kepada kaum lain tetapi untuk melakukan perubahan dari segi mentaliti dan sistem.

Mereka harus sedar bahawa di masa sekarang dan masa depan yang akan datang, anjakan paradigm pemikiran masyarakat Melayu telah dan akan membuatkan retorik UMNO sekarang yang ektremis Melayu semakin tidak diendahkan.

UMNO harus sedar bahawa ianya kini berada di ambang perubahan. Tindak-tanduk ahli-ahli dan kepimpinan akan dinilai secara kritis oleh pihak lawan dan juga kawan. Kawan? Penulis menganggap parti-parti komponen lain sebagai rakan UMNO yang harus dihormati. Mereka juga turut sama berkorban aspirasi demi menghormati semangat kompromi yang diusahakan pemimpin-pemimpin lalu.

Ahmad's Tongue Undermining BN (The Malaysian Insider)

Tetapi kini UMNO semakin mengetepikan pendapat mereka. Malah, tiada lagi kesefahaman di dalam banyak perkara, dalam skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini. UMNO harus melihat bahawa sifat angkuh kepimpinan dalam bekerjasama dan memahami isu-isu parti-parti komponen akan menguatkan lagi pengaruh DS Anwar Ibrahim.

Penulis ingin mengingatkan ahli-ahli akar umbi UMNO bahawa jika anda tidak menunjukkan bahawa perubahan harus dilakukan, dari segi mentaliti, personaliti, dan sistem, maka akan tiba satu masanya UMNO kekal sendirian.

Apakah wang, kontrak dan kuasa yang dijanjikan untuk segolongan individu kekal berkuasa mempunyai kesan apabila wang, kontrak dan kuasa itu hilang? Rayuan untuk sokongan tidak akan diendahkan kecuali kita bersedia mengambil langkah-langkah drastik mengembalikan keyakinan rakyat.

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Tiada ulasan: