Kesimpulan : Anwar menang…tetapi bukan kerana hujahnya. Sebaliknya, Anwar menang kerana kegagalan Shabery untuk fokus kepada isu. Malah, tidak seperti laporan-laporan di Malaysiakini atau blog-blog pro-pembangkang yang lain, Shabery ada menjawab soalan-soalan, tetapi jawapan beliau pendek tanpa sokongan fakta. Kadang-kadang terlampau pendek sehingga diabaikan ramai pendengar dan penonton.
Yang menjadi tumpuan adalah serangan bersifat peribadi Shabery Cheek. Isu ini banyak dibangkitkan di alam siber sebagai sesuatu yang tidak profesional. Penulis bersetuju, tetapi mungkin sebabnya adalah premis hujah Anwar sendiri bersifat peribadi, yakni menyalahkan rasuah dan kebolehan kerajaan Barisan sebagai punca harga minyak naik.
Bukankah menyebut sejarah Perwaja, MAS juga mengungkit kisah lampau? Penulis menganggap bahawa anjuran debat itu satu sukses,
tetapi debat itu sendiri tidak sukses kerana menyimpang daripada isu-isu utama yang seharusnya dibangkitkan.Tajuknya amat mudah -
Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak. Sebagai bekas wakil universiti dalam pertandingan
moot antarabangsa, penulis berpendapat bahawa mana-mana pihak harus bermula dengan mengkaji premis tajuk perdebatan.
Persoalan pertama yang harus dianalisa adalah –
adakah penurunan harga minyak sesuatu yang mustahil dilakukan kerajaan? Tidak sama sekali. Malah kerajaan, kalau diikutkan fokus kepada harga minyak sahaja, boleh rendahkan sehingga ke tahap sebelum PRU 12!
Datuk Shabery harus menyedari hakikat ini. Jika beliau mengakui hakikat ini, maka persoalan seterusnya yang harus dipertimbangkan
adalah bagaimana. Seribu satu jawapan boleh diberikan DS Anwar. Dengan menghentikan Program Khidmat Negara sahaja sudah menyelamatkan RM500 JUTA setahun.
Jadi jelas dari awal lagi bahawa menurunkan harga minyak itu bukan sesuatu yang mustahil, dan pasti ada cara untuk melakukannya. Dengan mengakui dua hakikat ini, Datuk Shabery boleh memfokuskan kepada persoalan sebenar – haruskah rakyat terus disogok dengan harga minyak palsu? Apakah yang harus dikorbankan demi menjaga cara hidup pembaziran oleh rakyat jelata? Sampai bilakah kita harus bersenang lenang dalam alam maya ciptaan harga minyak yang rendah? Adakah harga minyak dan tenaga yang rendah penyumbang kepada pendapatan purata yang rendah?
Berdasarkan premis sebegini, penulis ingin mencuba menjawab beberapa isu dibangkitkan DS Anwar Ibrahim.
Menurunkan Kapasiti Simpanan TNB Daripada 40% kepada 20%, kerana IPP banyak keuntungan.Ya, kerajaan mengakui bahawa IPP kini merekod keuntungan yang berlebihan. Kerajaan sudah mula mengambil langkah awal yakni mengenakan cukai lebihan ke atas IPP-IPP. Dengan ini dijangkakan lebih RM 600 juta akan diperolehi tahun ini.
Kerajaan juga dalam proses menilai kontrak-kontrak IPP. DS harus sedar bahawa kontrak-kontrak dengan IPP, yang termeterai sewaktu DS bertindak sebagai Menteri Kewangan, adalah kontrak yang sah.
Maka proses untuk menilai semula kontrak tersebut memakan masa. Kerajaan harus bertindak secara berhati-hati, kerana akujanji kerajaan terhadap sektor korporat akan dinilai bukan sahaja oleh pelabur dalam negeri tetapi juga luar negara. Jika kerajaan terus mengabaikan komitmen terhadap sektor korporat, maka di masa hadapan akan berlaku ketidak percayaan terhadap kata-kata kerajaan.
Mungkin DS tidak sedar bahawa
dengan menurunkan kapasiti berlebihan, simpanan dari segi kewangan akan sampai ke Tenaga Nasional, dan bukan terus kepada kerajaan. Persoalan seterusnya adalah – bagaimana hendak menurunkan kapasiti simpanan? Siapakah yang akan mendapat kesan daripada penurunan kapasiti ini? Apakah implikasi sampingan daripada penurunan kapasiti? Adakah ianya langkah sementara sahaja? Ini harus dihuraikan dengan lebih lanjut oleh DS.
Tetapi penulis sebenarnya terkejut dengan cadangan DS untuk turunkan harga minyak hanya sebanyak 50 sen. Pada harga RM 2.20, ianya tetap satu peningkatan sebanyak 0.30. Tetapi bukankah DS pernah berjanji bahawa kalau Pakatan Rakyat menjadi kerajaan pada PRU 12, harga minyak bukan setakat kekal 1.92, malah turun ke paras 90-an?
Jadi dengan meletakkan RM 2.20 sebagai langkah awal, DS telah mengakui bahawa harga minyak harus naik, dan jika Pakatan Rakyat menang PRU 12, ada kemungkinan harga minyak tetap akan naik dari paras 1.92!Rasuah, Penyelewangan dan Ketidakcekapan Punca Harga Minyak NaikDi sini penulis bersetuju dengan hujah Shabery. Pada pendapat penulis, kalau masalah harga minyak naik di Malaysia sahaja, maka boleh dikatakan faktor rasuah dan ketidakcekapan puncanya.
Tetapi masalah ini masalah global, dan adakah kerana harga minyak naik di negara-negara lain, setiap parti pembangkang harus mengambil alih kuasa dari kerajaan pemerintah di negara-negara tersebut?
Tidak perlu DS mengungkit
bailout-bailout lama seperti MAS dan Perwaja. Umum diketahui bahawa masalah kewangan dan ketidakcekapan yang melanda syarikat GLCs bermula sejak zaman DS berada di dalam kerajaan.
Di bawah pemerintahan Barisan sekarang, dan langkah modernisasi yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu, GLCs telah menunjukkan peningkatan prestasi yang amat baik.Jadi untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sekarang, atas beberapa kesilapan yang berlaku pada waktu DS berada dalam kerajaan dahulu, adalah tidak betul. Ya, masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pembaziran, dan kerajaan sentiasa berwaspada untuk mengekalkan kos pada tahap yang rendah. Ini adalah satu proses yang berterusan dan memakan masa yang lama.
Kerana itu penulis khuatir penurunan harga minyak, yakni memotong perbelanjaan lain untuk subsidi, seperti disarankan DS, hanya bersifat sementara.
Di Venezuela dan Iran, harga minyak rendah, inflasi tinggi. Di Malaysia, harga minyak tinggi, inflasi pun tinggi. Pada pendapat penulis, adalah satu kesilapan menggunakan Venezuela dan Iran sebagai perbandingan kerana embargo perdagangan yang dikenakan ke atas mereka.
TETAPI harus diingatkan juga bahawa Pakatan Rakyat telah menggunakan negara-negara ini sebagai perbandingan di dalam hujah-hujah mereka, malah dijadikan sandaran dalam hujah-hujah di Internet. Datuk Shabery seharusnya lebih peka terhadap perkara ini dan menggunakannya dalam hujah balas.
Inflasi boleh disebabkan beberapa faktor. Biasanya adalah kerana permintaan meningkat. Tetapi ianya juga boleh disebabkan kerana harga kos bahan mentah meningkat tanpa peningkatan penggunaan domestik. Betul kenaikan harga minyak akan membawa kesan kepada kadar inflasi. Ini harus diakui.
Tetapi pada masa yang sama harga kos bahan-bahan lain, seperti bahan pembinaan dan bahan makanan asas, telah meningkat sejak awal tahun walaupun harga minyak dikekalkan. Apabila kesemua bahan mentah ini meningkat kos secara mendadak, maka inflasi akan berlaku walaupun permintaan domestik tidak bertambah.
Jadi kerajaan harus membuat pilihan, sama ada untuk menggunakan dana yang sedia ada untuk mengekalkan harga makanan kepada paras yang masih boleh diterima, untuk mengekalkan projek-projek infrastruktur yang kosnya semakin bertambah atau untuk mengekalkan cara hidup rakyat.
Selepas pertimbangan, adalah jelas bahawa kos infrastruktur dan kos makanan harus ditampung kerana ianya memberi kesan kepada rakyat secara amnya.
Harga minyak juga begitu, tetapi subsidi bulat-bulat juga akan membawa faedah kepada mereka yang sudah berpendapatan tinggi. Adalah wajar untuk menarik subsidi bulat-bulat, dan kemudian mengembalikan dana yang berjaya disimpan kepada mereka yang betul-betul memerlukannya. Itulah yang dilakukan kerajaan melalui langkah awal
rebate yang diberikan. Malangnya, harga minyak terus meningkat sehingga apa-apa penjimatan yang dirancang, semakin berkurangan!
Petronas Terus Menjumpai Sumber Minyak Baru, Minyak Tidak Akan Habis Pada 2015Soalan Datuk Shabery seharusnya lebih lengkap. Tidak perlu menyebut tarikh. Timbulkan sahaja persoalan JIKA minyak akhirnya habis, dan ini adalah satu kepastian saintifik, bagaimanakah kerajaan PR kemudian akan menampung jumlah subsidi yang besar setelah bertahun-tahun memberikan rakyat subsidi sedangkan harga minyak dunia terus meningkat?
Atau adakah DS juga memperlekehkan hakikat bahawa satu hari nanti, minyak akan habis?Jika betul harga minyak sudah mencapai satu paras tinggi dan akan turun selepas ini, maka Alhamdulillah! Harga minyak sekarang patut terus dikekalkan,
tetapi penjimatan berlipat ganda hasil penurunan harga minyak dunia akan disalurkan semula kepada mereka yang berpendapatan rendah dan industri-industri kritikal. Dalam jangka masa panjang, sistem ini akan melahirkan ekonomi yang lebih efisyen dan praktikal, daripada terus mengurangkan harga minyak bulat-bulat.
Kenapa perlu kerajaan membayar kos kepada pengeluar luar negara yang mengawal 60% pasaran runcit domestik? Kenapa perlu kerajaan terus menampung kehidupan mewah 20% rakyat Malaysia yang mampu membayar minyak pada harga pasaran?
Bukankah lebih elok kalau harga minyak di pasaran dikekalkan atau subsidi terus dikurangkan, sementara sebarang
penjimatan diberikan kepada rakyat melalui sistem rebate, kupon atau disalurkan terus ke EPF. Mekanisme-mekanisme ini harus dipertimbangkan sebelum implementasi, tetapi penulis percaya kalau ada cadangan komprehensif dan realistik, bukannya sekadar kurangkan belanja untuk tambah subsidi, sudah tentu akan kami pertimbangkan!
DS Hadir di Debat ini Untuk Berkongsi Ide, Kerajaan Harus Lebih Terbuka dengan IdePendirian ini diutarakan sebagai jawapan kepada soalan moderator Johan Jaafar –
kenapa perlu ambil alih kerajaan, kenapa tidak berkongsi ide?Jawapan DS Anwar sebenarnya bersifat sekarang, masa kini, sedangkan topik perdebatan bersifat masa depan atau
hipothetical. Tetapi, tidak mengapa, kerana walaupun bersifat sekarang, jawapan beliau menimbulkan persoalan.
Adakah dengan Debat sahaja ide ini boleh dikongsi?
Kenapakah cadangan kurangkan kapasiti tenaga tidak diutarakan sebelum ini dalam mana-mana forum, ceramah dan wawancara? Kenapa tidak dinaikkan di Parlimen oleh wakil Pakatan Rakyat? Jika DS benar-benar jujur ingin membantu, sudah tentu DS boleh sampaikan kertas kerja kepada pihak yang berkenaan.
Media-media di Internet bebas untuk mengutarakan strategi dan ide DS. Tetapi setiap kali disoal bagaimana, DS hanya ingin berdalih. Adakah benar DS telus untuk berkongsi ide, atau adakah ide itu datang hanya kerana debat ini?
Kalau debat ini tidak dilaksanakan, maka rakyat Malaysia terus tidak akan berpeluang mendengar cadangan DS, sehinggalah mereka memberontak dan melantik DS menjadi PM. Adilkah rakyat dipermainkan sedemikian?
....
Maaflah, panjang. Darah pendebat masih gemuruh. Harus dinyatakan bahawa isi kandung jawapan ini diadakan sementara rehat tengah hari di pejabat, jadi tiada masa membuat kajian menyeluruh. Harap-harapnya ianya dapat menjawab beberapa isu yang dibangkitkan DSAI.
Dalam topik yang sama tetapi isu yang berbeza, penulis amat kecewa sekali dengan sikap Dr. Nordin Kardi, naib canselor UUM, kerana memalukan institusi pengajian awam dengan kenyataan dan soalan yang bodoh dan tidak relevan kepada DS Anwar. Luaskan pandangan Dr., jangan hanya sibuk berpolitik dan mengampu sehingga tidak membuat kajian teliti. Walaubagaimanapun, soalan kedua Dr. Nordin kepada Shabery lebih kemas dan logik. Malangnya, reputasi beliau sudah hancur dengan sikap agresif.
...