Rabu, 2 Julai 2008

Malaysia Tidak Terkecuali

Bursa Saham KL (KLSE) terus jatuh (kini mencecah paras 1151) di sebalik kemelut politik dan ekonomi yang melanda negara. Kadar inflasi bakal mencecah 7%, berbanding hanya 3.8% pada tahun 2007. Harga barang-barang makanan seluruh dunia juga meningkat secara mendadak sejak awal tahun ini.

Sebarang pengurangan subsidi yang diambil kira kerajaan sewaktu menaikkan harga petrol kepada RM 2.70 bakal lenyap setelah harga minyak dunia terus meningkat. Pada Jun 30, ianya mencecah rekod USD 143 setong – peningkatan lebih 2 KALI GANDA daripada harga minyak dunia setahun yang lalu. Harga minyak dijangka meningkat sehingga ke USD 185 hujung tahun ini.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang sedang mengalami kegawatan ekonomi. Vietnam, yang dikatakan menyerupai pembangunan Malaysia awal 90-an, kini bakal mencatatkan perkembangan ekonomi terendah dalam masa 6 tahun. Di Korea Selatan, kadar inflasi bakal mencecah 4.5%, tahap tertinggi dalam 10 tahun.

Rakyat Malaysia mungkin tidak sedar bahawa keadaan ekonomi dunia mula mengalami zaman kegawatan hujung tahun lepas. Semuanya bermula daripada krisis “subprime” yang melanda Amerika Syarikat. Bank-bank besar antarabangsa terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta trilion.

Kesimpulannya adalah : Masalah peningkatan harga minyak, kejatuhan mata wang, peningkatan kadar inflasi...bukanlah masalah yang unik di negara kita, dan sudah tentunya bukan angkara kerajaan semata-mata.

Atau mungkinkah penyokong PR ingin menyatakan bahawa UMNO ada kena mengena dengan kenaikan harga minyak dunia? Wallahualam. Berkuasa betul orang UMNO.

Walaubagaimanapun, kerajaan juga tidak harus menggunakan keadaan ekonomi dunia sebagai alasan atau jalan keluar daripada tanggungjawab terhadap rakyat.

Polisi kerajaan harus mengambil kira keadaan ekonomi dan meramalkan apa yang bakal berlaku, bukan 2-3 bulan akan datang, tetapi 5 – 10 tahun akan datang. Pembaziran harus dielakkan. Ini bukan bermakna pemberhentian projek-projek besar (ini hanya akan menyebabkan ekonomi lagi gawat), tetapi pemilihan kontraktor, pemilihan projek yang benar-benar berbaloi bagi wang yang dibelanjakan.

Apa yang telah berlaku, sudah berlalu, dan tidak boleh diubah.

Apa yang diharapkan adalah dengan adanya pembangkang yang kuat dan pro-aktif, satu sistem “check and balance” dapat dilakukan demi pembangunan ekonomi. Malangnya, fokus kini lebih tertumpu kepada mengambil alih takhta kerajaan.

Jika diambil rekod kerajaan-kerajaan negeri PR sehingga kini, belum ada lagi penyelesaian awal, apatah lagi penyelesaian komprehensif terhadap masalah ekonomi. Memberi benda percuma hanyalah satu lagi bentuk subsidi, dan ianya tidak boleh berterusan selama-lamanya. Bezanya mungkin dari segi demografik penerima bantuan ini, tetapi hakikatnya tetap sama. Pelbagai contoh yang boleh kita lihat seperti pembatalan kompoun, pemberian beras percuma, air percuma.

Adakah kerajaan Barisan tidak bersalah? Sama sekali tidak. Polisi memberi bantuan dan subsidi hanya melahirkan generasi yang sudah biasa, malah menganggap, bantuan itu adalah hak mereka. Tetapi pada masa yang sama, tujuan bantuan diberikan adalah supaya rakyat membantu diri mereka sendiri.

Adakah kita sudah melakukan yang terbaik untuk memajukan diri dan meningkatkan kemahiran agar nilai kita meningkat di mata dunia? Adakah duit bonus anda digunakan untuk membeli telefon bimbit terbaru?

Betul, penulis sendiri tahu ramai di kalangan rakyat yang memang memerlukan bantuan. Golongan fakir miskin wujud di mana-mana saja di dunia. Golongan ini sentiasa harus diberikan perhatian dan bantuan. Tetapi apakah yang akan berlaku setelah bantuan diberikan?
Di situlah tanggungjawab rakyat sebagai individu dan kerajaan sebagai pemberi bantuan bercantum. Penulis sendiri melihat bagaimana bantuan yang diberikan kepada masyarakat Melayu digunakan untuk bersuka-ria, sedangkan pelajaran diabaikan. Rakan India penulis ini yang hanya mendapat 1A dalam SPM sehingga ke hari ini menyalahkan sistem pendidikan kerajaan. Kenapa? Buku teks sama, ujian sama...jadi salah siapa?

Apabila orang ramai mula memberi contoh-contoh seperti pendapatan RM3000 dan dengan 4 orang anak, adakah mereka mengambil kira usaha penerima pendapatan itu untuk meningkatkan pendapatan? Ataupun mengurangkan perbelanjaan?

Tanggungjawab harus dikongsi bersama. Polisi semurni mana pun, kalau sampai ke tangan rakyat yang tidak mahu menerima realiti dan bergerak maju ke hadapan, tetap akan gagal...tidak kiralah datang dari Barisan ataupun Pakatan Rakyat.

...

Berita lain

Kerajaan Membayar 2.9 Billion kepada Pengusaha Tol (Malaysiakini)
PM Salah Statistik untuk Sabah (Malaysiakini)

1 ulasan:

Mohd Nadzri Kamsin berkata...

“Inflation ?? Women & Micro Economy, The Dinar & Dirham Solution”

Penceramah: Umar Vadillo (Cendikiawan Islam Sepanyol)

Tempat: Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara Kuala Lumpur.

Tarikh: 6 Julai 2008 (Ahad)

Waktu: 5 petang.

Semua dijemput hadir....