Selasa, 15 Julai 2008

DILEMA AHLI AKAR UMBI

Laman ini adalah laman blog ahli UMNO, jadi sudah tentu ianya tidak boleh lari daripada topik UMNO.

Tempoh mesyuarat cawangan akan bermula pada 17 Julai, melibatkan hampir 20,000 cawangan seluruh negara, dan ditutup pada 24 Ogos. Dalam teori, di peringkat inilah keputusan sebenar dibuat, di mana usul dikemukakan, pandangan diutarakan dan sokongan diberikan oleh ahli akar umbi.

Tetapi semakin lama, semakin mengucup kuasa yang berada di tangan cawangan. Kenapa? Antara sebab paling utama adalah kecetekan pengetahuan di kalangan ahli UMNO sendiri. Jangan disalahkan ahli akar umbi sepenuhnya. Bukan senang hendak mengikuti perkembangan politik negara. Apatah lagi mengetahui sejarah dan salah silah bakal-bakal calon yang meletak nama untuk dipertandingkan.

Jangan terkejut kalau ada ahli yang sudah berpuluh tahun dalam UMNO tetapi tidak tahu hak dan kuasa mereka. Jangan terkejut kalau ada makcik dan pakcik yang tidak tahu tentang pelan peralihan kuasa Pak Lah. Jangan terkejut jika ada ahli yang tidak boleh membezakan Shabery Cheek dan Rahim Thamby Chik.

Cukuplah susah untuk mencari maklumat latar-belakang tentang Menteri-menteri, apatah lagi calon-calon Ketua Bahagian!

Maka ahli-ahli ini akan memberi tanggungjawab besar kepada ketua-ketua mereka, yang mereka kenali sudah sekian lama, untuk memilih bagi pihak mereka. Tetapi masalah yang sama tetap wujud, yakni ketandusan maklumat komprehensif tentang latar belakang calon di setiap peringkat.

UMNO harus menyedari bahawa MAKLUMAT ITU BAGAIKAN EMAS dalam dunia zaman sekarang. Tanpa maklumat yang kukuh, dan komprehensif, pemilihan akan dibuat berdasarkan faktor-faktor luaran seperti gosip, pujukan, rayuan dan mungkin juga rasuah.

Umum tahu bahawa walaupun ketua-ketua bahagian bersetuju melantik semula Pak Lah sebagai Presiden dan Najib sebagai Naib-Presiden, masih ramai di kalangan akar umbi yang menolak persetujuan ini. Tetapi ahli akar umbi juga tidak harus memikirkan tentang “top 2” sahaja, kerana calon-calon Naib Presiden UMNO kini semakin bertambah!

Di sini disenaraikan calon-calon yang khabarnya merebut 3 jawatan Naib-Presiden:


Klik di imej untuk dibesarkan

17 CALON!! Ada setengah tu yang setakat suam-suam kuku (seperti Khairy Jamaluddin).

Penulis ingin mengingatkan bahawa sebenarnya pencalonan mereka ini akan datang dari akar umbi, secara teori. Tetapi berapa ramai ahli akar umbi yang akan betul-betul mengambil langkah memilih 3 calon naib-presiden mereka, dan kalau ya, berdasarkan kriteria apa?


Siapakah Datuk Ahmad Shabery Cheek?

Malam ini akan menyaksikan pertembungan debat antara Anwar dan Shabery Cheek. Umum sudah mengenali gerangan DSAI, jadi tidak perlulah kita membincangkan tentang beliau. Tetapi siapa pula Shabery Cheek?


Susah juga nak mendapatkan maklumat yang lengkap tentang Datuk Shabery. Tetapi setelah meneroka alam siber, inilah sedikit sebanyak yang dapat penulis dapat kumpulkan.

Datuk Shabery ini lulusan ekonomi dari Universiti Malaya, di mana beliau juga pernah menyandang jawatan presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Di zaman universiti, beliau dikenali sebagai seorang aktivis pro-pembangkang. Di antara tokoh politik sekarang yang sezaman dengan beliau adalah Husam Musa (PAS) dan Muhamad Fuad Zakarshi (UMNO).

Selepas meninggalkan UM, beliau berjinak dengan politik bersama PAS di Terengganu. Tetapi selepas beberapa tahun, beliau menyambung pelajarannya dalam bidang Sains Politik di Univeriti Leeds. Catatan menunjukkan beliau juga pemegang diploma lanjutan dalam Perhubungan Antarabangsa. Beliau bertugas sebagai penceramah Sains Politik di Universiti Malaya selama beberapa tahun.

Beliau kemudian menyertai Semangat 46 bersama Ku Li. Beliau pernah memegang jawatan ahli Exco pemuda dan kemudia ketua pergerakan pemuda Semangat 46. Apabila Semangat 46 dibubarkan, beliau turut serta menyertai UMNO. Beliau pernah menjadi Ketua UMNO cawangan Gong Cengal, Ketua Penerangan UMNO Terengganu, dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Pada tahun 2004, beliau bertanding kerusi Parlimen Kemaman, dan menang dengan majoriti besar lebih 15,000. Di pertengahan pemerintahan Pak Lah, beliau dilantik menjadi Setiausaha Parlimen di Wisma Putra. Pada 2008, beliau berjaya memegang kepada kerusi Kemaman dengan majoriti lebih 12 000. Beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan baru menggantikan Datuk Zainuddin Maidin.

Insyaallah, harap-harapnya beliau dapat menaikkan semangat juang UMNO yang jelas semakin hilang di kalangan pemimpin-pemimpin. Jangan lupa saksikannya di saluran TV9, saluran 119, 501 dan 502 di Astro jam 9.00 malam ini.

Sumber:

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Shabbery mengecewakan. Lebih menyerang Anwar dari mempertahankan kerajaan. Tapi pujian harus diberikan atas keberanian beliau untuk berdebat dengan Anwar

http://dunia-politik.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

salam...
ternyata shabery langsung tidak tahu pasal ekonomi. yg beliau tahu bagaimana untuk menyerang peribadi dan politik anwar. langsung tidak ada pengisian bagaimana tindakan kerajaan boleh membantu rakyat. nampaknya dalam UMNO sendri sudah tiada ahli akademik. yg ada cuma org2 yg cuba mempermainkan sentimen politik. memalukan dalam 2 program debat, 2 2 pengisian UMNO adalah kosong. Sharir pun lebih kurang shabery juga. kalau diungkit pada zaman yg lepas, shabery lagi teruk, mengkhianati UMNO kerana menyertai semangat 46 sewaktu UMNO diharamkan. bukan nak bersama umno berjuang kembali. membabi buta sahaja mengeluarkan fakta tanpa menjawap soalan. malah menghentam peribadi anwar yg bercakap dengan fakta yg jelas. sememangnya ini yg kita nak dengar dari org yg dilantik untuk berdebat. setakat nak cerita keburukan org, dah muak dah dengar. shabery nampaknya dah boleh letak jawatan la ye.

takpe lah, mungkin pak menteri ini lebih pandai rebut jawatan daripada melihat kesusahan rakyat. itu sudah pasti. apa pun, saya melihat kepandaian TDM dalam diri anwar. beliau mampu menganalisis ekonomi beserta pelan2 tindakan yg boleh diambil untuk menurunkan harga minyak. tidak seperti saberi membezakan tahun 70an dengan sekarang. nampaknya beliau belum bangun dari tidur. kalau lah salahudin ayub dan anwar ini berada dalam UMNO, sudah pasti masalah ekonomi ini dapat diatasi dengan jayanya. kerana mereka adalah org2 yg berilmu, yg mampu menganalisa dan menghasilkan 1 pelan jalan keluar yg boleh dimanfaatkan bersama rakyat. inilah pemimpin yg kita mahu. org yg mampu berfikir dan berilmu. tidak semata2 menyerang peribadi anwar sehingga lupa tujuan debat sebenarnya. malu la dengan melayu sekarang. banyak sangat yang pakai kot dan berkereta besar. tapi bodoh. yg pandainya hanya berlaku zalim, membuat propaganda, tidur, menyusahkan rakyat semata2 20 org punya perarakan. sampai bila kerajaan hendak menyusahkan rakyat. saya sendri dah meluat dan benci dengan UMNO ini. bukan sbb parti tapi sbb org2 dalam parti.

saya berharap, biarlah adalah org yg mampu menyambung kepimpinan TDM, bijak seperti anwar dan tegas seperti salahudin ayub.