Rabu, 23 Julai 2008

Yang Digendong Berciciran

Khir Toyo ohh Khir Toyo. Pengakuan “calon” Ketua Pemuda UMNO ini bahawa beliau telah cuba untuk membina kerajaan Selangor bersama PAS adalah satu langkah yang tidak masuk akal dan tergopoh gapah.


Kenyataan beliau yang menyalahkan DS Anwar, dalam keadaan di mana majoriti rakyat Malaysia, tidak kira Melayu atau tidak, memandang jelek terhadap UMNO kerana tuduhan liwat yang mereka percaya satu konspirasi, adalah satu langkah ke belakang dalam usaha menaikkan profil Barisan Nasional di Selangor.

PAS Tidak Minat Tawaran UMNO (Malaysiakini)

Bila lagi UMNO nak sedar bahawa kekalahan Barisan Nasional pada PRU 12 bukan semata-mata kerana kehilangan sokongan kaum Melayu? Keangkuhan tindak-tanduk dan radikalisme yang semakin memuncak di dalam UMNO telah mengasingkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap UMNO dan Barisan.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa tindak-tanduk UMNO ini adalah reaksi terhadap provokasi kaum bukan Melayu dalam mempersoalkan hak-hak Melayu. Ya, bagi mereka yang hanya melihat pada yang dekat dan bukan yang jauh, ada kebenarannya.

Tetapi realitinya adalah persoalan hak-hak Melayu dan isu-isu seangkatan dengannya lahir daripada kelemahan institusi kerajaan yang diterajui parti Melayu sendiri. Kegagalan parti Melayu yakni UMNO untuk benar-benar melahirkan satu bangsa Melayu dan Bumiputera yang boleh bersaing dengan kaum bukan Melayu tanpa bantuan dan subsidi walaupun sudah 50 tahun merdeka harus dilihat sebagai pemangkin rasa tidak puas hati kaum bukan Melayu.

Teringat penulis ini pada satu “ceramah” yang menampilkan Akramsyah dan Mukhriz, anak kepada dua bekas orang kuat UMNO. Penulis hanya mampu geleng kepala apabila seorang ahli panel (bukan Akramsyah atau Mukhriz) membuat kenyataan berbunyi seperti berikut –

“lihatlah sekarang betapa teruknya keruntuhan moral di kalangan orang Melayu dengan gejala-gejala seperti melepak, bohsia dan dadah. Adakah kita harus biarkan negara jatuh ke tangan pembangkang dan biarkan ini berterusan?”

Itulah mentaliti ramai di dalam UMNO. Cuba guna logik sikit. Masalah keruntuhan moral yang berlaku di kalangan orang Melayu sekarang berlaku sewaktu zaman pemerintahan UMNO, bukan pembangkang!

Sedarlah bahawa hujah mempertahankan hak Melayu semakin dipandang serong bukan sahaja oleh orang bukan Melayu tetapi bangsa Melayu sendiri yang melihat hanya sebilangan orang Melayu yang diperkayakan oleh kerajaan pimpinan parti Melayu.

Ini adalah satu isu yang harus ditangani UMNO secara komprehensif dan memerlukan rombakan besar-besaran, bukan sahaja dari segi kepimpinan, tetapi juga dari segi imej, persepsi, pandangan dan perjuangan.

UMNO harus sedar bahawa ianya adalah parti Melayu yang menjadi tunjak perpaduan antara kaum dan bertindak berdasarkan sifat terbuka dan toleransi kepada peranan dan perasaan parti-parti komponen dalam Barisan. Di situlah kekuatan UMNO – sebuah parti Melayu yang mementingkan perpaduan kaum demi menjamin kemajuan Bangsa Melayu dalam keadaan yang aman, makmur dan bahagia.

Penulis sendiri faham apabila membaca pandangan skeptikal penyokong-penyokong PAS. UMNO dan PAS sudah lama tidak bersatu, dan tiada keserasian. Masyarakat Melayu sudah lama berpecah di antara garisan PAS dan UMNO. Malah, ada lebih persefahaman dan keserasian antara PKR dan UMNO daripada UMNO dan PAS.

Ahli UMNO Pahang Sertain PKR (Malaysiakini)

Itulah satu realiti yang tidak disedari Pak Lah dalam kegopohan cuba mengambil alih Kelantan hingga hilang Selangor dan lain-lain. UMNO tidak akan dianggap sebagai pejuang Islam sepertimana PAS. Walaupun cuba diketengahkan dengan konsep Islam hadhari (cuba tengok ada tak pemimpin UMNO sebelum ini yang mempunyai perjuangan konsep Islam?), UMNO tidak dapat bersaing dengan PAS.

Jadi dalam menjadi semakin radikal dan ekstrimis dalam tindakan dan percakapan, UMNO anggap akan menarik minat orang Melayu yang berada di atas pagar dan mereka yang bersama PAS. Realitinya adalah golongan yang atas pagar biasanya terdiri daripada golongan professional dan intelektual yang tidak mudah dipermainkan manakala penyokong PAS akan tetap bersama PAS.

Ahli PAS Mengamuk isu Muzakarah (Malaysiakini)

Ironinya adalah sokongan dari kaum bukan Melayu semakin hilang, dan kelemahan parti komponen diketengahkan membuatkan kaum bukan Melayu semakin mempersoalkan hak-hak Melayu dan bukan Melayu.

UMNO harus mengembalikan semangat kerjasama dan persefahaman yang telah membawa Malaysia ke arah kemajuan selama ini. Dan dalam memperjuangkan hak Melayu, UMNO harus melihat betapa luasnya spektrum Melayu itu sendiri pada zaman sekarang, dan cuba untuk mengatur langkah dan polisi yang boleh memenuhi hasrat dan impian mereka semua, bukan setakat sesetengah golongan saja.

Jangan yang dikejar tak kesampaian, yang digendong berciciran.


Lain-lain:
DAP "meniru" soalan Gerakan (The Star)
Mat Taib ingin jadi Naib Presiden (The Star)

2 ulasan:

malayamuda berkata...

Khir Toyo hanye patut mencabut gigi rosak rakyat Malaysia.

Sile hantar beliau ke Klinik Pergigian berdekatan secepat mungkin

Jika semua jawatan penuh di Klinik Pergigian sila hantar beliau balik ke Indonesia. Beliau boleh mengamuk disane.

Lebih2 lagi, di Bali, Indonesia ader banyak kuil Hindu yang boleh di roboh kan oleh beliau.

Tanpa Nama berkata...

tinggalkan jer la kapal karam bernama UMNO ini...jadi independents!